Ipoh : Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan melakukan siasatan terperinci sekiranya terdapat aduan mengenai kemasukan pelajar khususnya ke institusi itu dibuat secara datan terus (walk-in) tanpa melalui prosedur yang sepatutnya. Ketua Pengarah JPPKK, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, sehingga kini beliau belum mendapat maklumat lengkap mengenai dakwaan itu.
"Kita kena laksanakan siasatan terperinci,(kerana) saya tidak mendapat maklumat lengkap," katanya selepas menyempurnakan majlis Aspirasi Ketua Pengarah JPPKK Tahun 2023 di Politeknik Ungku Omar di sini, hari ini. Beliau menjawab pertanyaan media bahawa ada pentadbir di politeknik tertentu sedang berjuang dan bergelut sehabis mungkin (struggle) bagi mencari pelajar untuk mendaftar masuk ke politeknik sehingga ada antaranya menawarkan pendaftaran secara walk-in.
Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2023/2024 ke program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda melalui UPUOnline dibuka bermula hari ini hingga 28 Mac depan bagi permohonan fasa pertama dan 15 Mei hingga 12 Jun depan bagi fasa kedua termasuk bagi kemasukan ke 36 buah politeknik serta 105 kolej komuniti.
Sementara itu, Mohd Zahari berkata, tidak seharusnya timbul isu kekurangan pelajar mendaftar di politeknik dikaitkan dengan adanya program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kendalian institusi yang bernaung di bawah kementerian, jabatan, agensi atau institusi lain.
Menurutnya, institusi TVET walaupun di bawah kementerian yang pelbagai ia berperanan untuk saling melengkapi antara satu sama lain terutamanya susulan penubuhan Majlis TVET Negara (MTVET) pada 2020 yang kini fungsinya diletakkan di bawah kendalian Kementerian Sumber Manusia (KSM). "Semua agenda TVET termasuk dari segi kebolehpasaran graduan dan sebagainya akan diselaraskan dibawah MTVET," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Zahari berkata, POLYCC yang merangkumi institusi politeknik dan kolej komuniti masih merupakan penyumbang tenaga kerja teknikal terbesar negara iaitu meliputi 40 peratus dengan kekuatan seramai 10,211 kakitangan serta 98,045 orang pelajar di seluruh negara.
Menurutnya, POLYCC juga berjaya melepasi kadar kebolehpasaran graduannya iaitu 90 peratus sepanjang tiga tahun berturut-turut dengan sepanjang tahun lalu kadar kebolehpasaran graduan politeknik adalah 95.32 peratus dan 96.66 peratus bagi kolej komuniti.
Sumber Harian Metro, Februari 7,2023.
No comments:
Post a Comment